X
Isnin, 15 Oktober 2018 | 1:11pm
INSPEKTOR William (tengah) menunjukkan batu delima palsu digunakan dua suspek memperdayakan mangsa. - Foto ihsan polis
INSPEKTOR William (tengah) menunjukkan batu delima palsu digunakan dua suspek memperdayakan mangsa. - Foto ihsan polis

Dua sindiket batu delima LED tumpas

KOTA TINGGI: Hanya bermodalkan sebiji batu delima LED, dua lelaki warga Indonesia meraih RM118,000, hasil penipuan ke atas 11 warga emas, sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon, Bajah berkata taktik itu dibongkar anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, susulan aduan diterima daripada mangsa.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang ditahan itu menjaja sebiji batu kononnya boleh mendatangkan kekayaan dan menyembuhkan penyakit.

“Kedua-dua lelaki warga Indonesia itu ditahan selepas dikesan menjadi sindiket penipuan batu delima di daerah Kota Tinggi.

“Sindiket ini menyasarkan mangsa dalam kalangan warga emas dan memperdayakan mereka dengan mendakwa batu delima itu boleh digunakan untuk upacara ‘tarik duit’ atau menyembuhkan penyakit,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

BATU delima LED yang didakwa ada kuasa ajaib yang digunakan dua lelaki warga Indonesia untuk menipu mangsa. - Foto ihsan polis
BATU delima LED yang didakwa ada kuasa ajaib yang digunakan dua lelaki warga Indonesia untuk menipu mangsa. - Foto ihsan polis

Beliau berkata, hasil siasatan, suspek meyakinkan mangsa dengan meletakkan batu delima itu ke dalam bekas tembaga berisi air.

“Ia kemudian mengeluarkan cahaya kemerahan. Siasatan polis mendapati batu delima itu palsu. Objek berkenaan sebenarnya sudah dipasang dengan lampu LED dan akan menyala apabila diletakkan di dalam air,” katanya.

Beliau berkata, lima biji batu delima palsu dan bekas tembaga, wang tunai, telefon bimbit serta kereta dirampas daripada kedua-dua suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, viral mengenai satu demonstrasi oleh Inspektor F William Prasad dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kota Tinggi mengenai penipuan oleh sindiket batu delima.

Video berdurasi kira-kira tujuh minit itu memperlihatkan taktik sindiket memperdaya warga emas di daerah ini.

Info berkenaan sangat berguna kepada orang ramai bagi meminta kedua-dua ibu bapa lebih berhati-hati apabila didatangi sindiket seperti ini.

Dalam demonstrasi itu, sindiket memperdaya mangsa dengan mendakwa batu mustika merah delima itu mampu menyembuhkan pelbagai penyakit.

Berita Harian X