Isnin, 15 Oktober 2018 | 10:01am

Jenazah CEO Cradle Fund akan dikebumikan semula hari ini

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan akan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, hari ini.

Pengebumian semula itu akan dilakukan pada kira-kira jam 11 pagi nanti.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat menerusi satu hebahan media, malam tadi.

Difahamkan, proses itu akan membabitkan pihak yang sama ketika jasad digali semula pada Isnin lalu iaitu pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Selain itu, pegawai Institut Perubatan Forensik Negara, doktor dan pegawai perubatan PPUM serta peguam pemerhati selain ahli keluarga Allahyarham Nazrin dijangka akan turut hadir.

Tinjauan NSTP di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, di sini, pagi ini mendapati kawasan itu dikawal ketat seramai 10 pegawai dan anggota polis, situasi yang sama ketika proses penggalian semula dijalankan.

Wartawan dan jurugambar dilarang masuk sementara orang awam yang bertujuan untuk menziarah tanah perkuburan diperiksa dengan teliti.

Pada 8 Oktober lalu, jenazah Allahyarham Nazrin dibawa keluar dari tanah perkuburan berkenaan untuk bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa.

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lalu yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca akibat letupan telefon bimbitnya.

SUASANA di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 di mana jenazah Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan yang akan dikebumikan semula. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad
SUASANA di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 di mana jenazah Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan yang akan dikebumikan semula. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X