Ahad, 14 Oktober 2018 | 3:34pm

Budak 2 tahun parah diseret kereta

PELABUHAN KLANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah selepas diseret kereta di sebuah stesen minyak di Pendamar Indah, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa patah tulang paha kiri serta mengalami keretakan di bahu dan kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata kemalangan berlaku ketika seorang pemandu wanita hendak mengisi minyak kereta di stesen berkenaan.

“Namun, wanita itu membatalkan hasrat dan memandu keluar daripada stesen minyak berkenaan.

“Ketika keluar seorang kanak-kanak melintas dan pemandu wanita terbabit melanggar kanak-kanak itu.

“Akibat kemalangan itu, mangsa patah tulang paha kiri serta retak bahu kanan dan juga kepala. Mangsa juga menerima lima jahitan di kening dan juga dua di dahi,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Shamsul Amar, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam klip video berdurasi 33 saat yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp, seorang kanak-kanak dipercayai mangsa dilihat berlari kepada seorang wanita, dipercayai ibunya yang sedang mengisi minyak motosikal.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu tidak sempat sampai ke sisi ibunya apabila sebuah kereta terlanggar mangsa dan menyeretnya sejauh beberapa meter.

Berita Harian X