Khamis, 11 Oktober 2018 | 10:28am

TERKINI: Ahmad Zahid dipanggil lagi ke SPRM

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipanggil lagi untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Beliau dipanggil bagi membantu siasatan oleh badan pencegahan rasuah itu berhubung penyelewengan dana sebuah yayasan membabitkan nilai mencecah RM800,000.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Lexus berwarna putih dinaiki Ahmad Zahid, 65, tiba di pintu masuk ke ibu pejabat SPRM di sini pada jam 9.16 pagi tadi.

Beliau yang dilihat memakai baju batik berwarna hijau zaitun dan corak petak sempat membuka tingkap kenderaan dinaikinya dan melambai kepada petugas media yang sedang menunggu di luar pagar bangunan itu.

Ahmad Zahid hadir ke SPRM dengan ditemani anak perempuannya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang tiba dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) berwarna hijau pada jam 9.23 pagi.

Semalam, Ahmad Zahid dan Nurulhidayah serta adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dipanggil ke SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Proses ambil keterangan ke atas Ahmad Zahid dan Nurulhidayah berlarutan hampir lapan jam, namun status proses ambil keterangan terhadap Mohamad Nasaee tidak dapat dipastikan.

Ini kali keempat Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diarahkan hadir ke ibu pejabat SPRM untuk dirakam keterangan dengan kali pertama dan kedua beliau hadir adalah pada 2 dan 3 Julai lalu serta semalam.

Pada Julai lalu, Ahmad Zahid dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan siasatan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi yang dikaitkan dengan beliau untuk digunakan menjelaskan hutang kad kredit milik beliau dan isterinya.

SPRM turut memanggilnya sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau bertemu dengan kerabat Arab Saudi yang dikatakan memasukkan wang RM2.6 bilion ke akaun bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Zahid sebelum ini turut ada menjelaskan tiada sebarang penyelewengan berlaku ke atas dana Yayasan Akal Budi yang dikendalikan keluarganya itu.

Menurutnya, apa yang berlaku sebenarnya ialah kesilapan pegawainya yang membuat pembayaran kad kredit dengan menggunakan duit yayasan dan bukannya menggunakan cek peribadi.

Beliau berkata, sudah menjelaskan perkara itu kepada pihak SPRM dan bayaran balik ke akaun yayasan sudah dibuat sepenuhnya pada 2016.

Difahamkan, Ahmad Zahid adalah pengerusi yayasan berkenaan yang ditubuhkan pada 1977 dengan matlamat menerima serta menguruskan dana bagi membasmi kemiskinan.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir semula ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir semula ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X