Rabu, 10 Oktober 2018 | 6:28pm
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di bahagian dapur rumah mangsa di Kampung Bechah Tok Bulan, Dalam Wang, Baling. - Foto Safuri Kamarudin
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di bahagian dapur rumah mangsa di Kampung Bechah Tok Bulan, Dalam Wang, Baling. - Foto Safuri Kamarudin

Api sambar ketika hendak memasak

BALING: “Ketika saya hendak hidupkan dapur gas untuk memasak, tiba-tiba api menyambar dari bawah dan saya terus lari kerana bimbang tong gas meletup”.

Demikian cerita warga emas, Patimah Salleh, 80, selepas bahagian dapur rumahnya di Kampung Bechah Tok Bulan, Dalam Wang, di sini, musnah dalam kebakaran jam 3.10 petang tadi, menyebabkan dia kerugian kira-kira RM15,000.

Katanya, ketika kejadian, dia bersendirian masuk ke dapur untuk memasak air namun ketika ingin menghidupkan dapur gas tiba-tiba api menyambar.

“Bimbang tong gas meletup, saya lari keluar meminta tolong jiran berdekatan dan menghubungi balai bomba.

“Mujurlah tidak berlaku kejadian buruk, meskipun bahagian dapur dan perkakas di dalamnya musnah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Mohd Riduan Abu Malek, berkata sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 3.14 petang.

Katanya, setiba di lokasi, anggota menggunakan satu pancutan air dan dapat memadamkan api daripada merebak, lima minit kemudian.

“Mujurlah aduan dibuat cepat. Warga emas terbabit turut terselamat kerana bertindak cepat keluar dari dapur.

“Kita masih menyiasat punca kebakaran dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada saluran getah paip tong gas yang bocor,” katanya.

Berita Harian X