Selasa, 9 Oktober 2018 | 5:47pm
VAN jenazah membawa keluar jenazah Allahyarham Nazrin selepas proses menggali semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, semalam. - NSTP/Saddam Yusoff
VAN jenazah membawa keluar jenazah Allahyarham Nazrin selepas proses menggali semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, semalam. - NSTP/Saddam Yusoff

Jenazah CEO Cradle Fund akan dikebumi Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan akan dikebumikan semula pada Jumaat ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini proses bedah siasat kali kedua sedang dijalankan dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

“Proses bedah siasat kali kedua bermula pada jam 4 petang semalam. Ini adalah satu proses mahkamah.

Penggalian dilakukan mengikut tertib agama yang perlu dipatuhi,” katanya.

Semalam, Jenazah Nazrin dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), untuk proses bedah siasat kedua.

Jasad Nazrin yang digali keluar dari kuburnya sekitar jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam oleh kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dan dipantau pegawai Institut Perubatan Forensik Negara, dibawa dari kawasan Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, di sini, menuju ke PPUM.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata proses penggalian semula kubur dijalankan dengan penuh berhati-hati dan teliti demi menghormati jenazah dan ahli keluarganya.

Selain dikendalikan oleh pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), proses penggalian semula kubur turut dipantau oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), doktor dan pegawai perubatan PPUM serta peguam pemerhati dan ahli keluarga Allahyarham Nazrin.

Nazrin ditemui mati di rumahnya di Kota Damansara, di sini pada 14 Jun lalu, dalam keadaan 30 peratus tubuh badannya terbakar.

Pada mulanya polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR) iaitu akibat kebakaran berdasarkan laporan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Bagaimanapun, kes itu bertukar menjadi kes bunuh selepas pihak bomba menemui kesan petrol di bilik tidur si mati, yang disyaki menunjukkan wujudnya elemen jenayah.

Susulan itu, isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 43 dan dua anaknya ditahan reman selama tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Pada hujung bulan lalu, abang mangsa, Dr Malek Hassan, menghantar permohonan kepada pihak mahkamah, untuk membuat bedah siasat kedua ke atas jasad adiknya.

Berita Harian X