Isnin, 8 Oktober 2018 | 2:13pm
VAN jenazah dipercayai membawa keluar jenazah Allahyarham Nazrin Hassan selepas proses menggali semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9. - Foto Saddam Yusoff
VAN jenazah dipercayai membawa keluar jenazah Allahyarham Nazrin Hassan selepas proses menggali semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9. - Foto Saddam Yusoff

Jenazah CEO Cradle Fund dibawa ke PPUM

PETALING JAYA: Jenazah Allahyarham Ketua Pegawai Eksekutif, Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), untuk proses bedah siasat kedua.

Jasad Nazrin yang digali keluar dari kuburnya antara jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi oleh kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dan dipantau pegawai Institut Perubatan Forensik Negara, dibawa dari kawasan Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, di sini, menuju ke PPUM.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata proses penggalian semula kubur dijalankan dengan penuh berhati-hati dan teliti demi menghormati jenazah dan ahli keluarganya.

“Proses penggalian semula dilakukan mengikut prosedur ditetapkan mengikut undang-undang Islam serta peruntukan undang-undang sedia ada.

“Pada masa ini tumpuan kita adalah proses siasatan yang akan dibuat berdasarkan laporan bedah siasat dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

VAN jenazah dipercayai membawa keluar jenazah Allahyarham Nazrin Hassan selepas proses menggali semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9. - Foto Saddam Yusoff
VAN jenazah dipercayai membawa keluar jenazah Allahyarham Nazrin Hassan selepas proses menggali semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9. - Foto Saddam Yusoff

Beliau berkata, pada masa ini pihaknya masih belum dapat menentukan tarikh sebenar semua proses ini berakhir termasuk mengebumikan semula jenazah Nazrin.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata proses penggalian semula kubur berakhir pada jam 12.45 tengah hari tadi.

Katanya jenazah yang diiringi kawalan ketat polis kemudian dibawa terus ke PPUM untuk urusan bedah siasat.

Selain dikendalikan oleh pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) proses penggalian semula kubur turut dipantau oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), doktor dan pegawai perubatan PPUM serta peguam pemerhati selain ahli keluarga Allahyarham Nazrin.

Nazrin ditemui mati di rumahnya di Kota Damansara di sini, pada 14 Jun lalu, dalam keadaan 30 peratus tubuh badannya terbakar.

Pada mulanya polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR) iaitu akibat kebakaran berdasarkan laporan dari pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Bagaimanapun, kes itu bertukar menjadi kes bunuh selepas pihak bomba menemui kesan petrol di bilik tidur si mati sebelum wujudnya elemen jenayah.

Susulan itu, isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 43 dan dua anaknya ditahan reman selama tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Pada hujung bulan lalu, abang mangsa, Dr Malek Hassan, menghantar permohonan kepada pihak mahkamah, untuk membuat bedah siasat kedua ke atas jasad adiknya.

Berita Harian X