Ahad, 30 September 2018 | 4:22pm
STANLEY (kanan) mengulas mengenai seorang pesara yang kerugian RM100,000 selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam. - NSTP
STANLEY (kanan) mengulas mengenai seorang pesara yang kerugian RM100,000 selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam. - NSTP

Rugi RM100,000 ditipu 'Inspektor Ong'

SIBU: Terpedaya dengan ugutan kononnya terbabit dalam urusan pembelian dadah, seorang wanita warga emas kerugian RM100,000 ditipu sindiket Macau Scam, minggu lalu.

Mangsa yang juga pesara berusia 65 tahun itu pada mulanya dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai daripada Kementerian Kesihatan, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata mangsa kemudian didakwa terbabit dalam urusan pembelian dadah daripada sindiket tertentu sehingga boleh dikenakan hukuman berat jika didapati bersalah.

Katanya, suspek kemudian menyambungkan talian telefon kepada seorang lagi lelaki yang didakwa sebagai ‘Inspektor Ong’ daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Mangsa yang ketakutan kemudian mendedahkan kepada ‘Inspektor Ong’ bahawa dia mempunyai simpanan di dalam akaun sebuah bank sebanyak RM100,000.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa memberikan nombor pin, nombor kad dan nombor TAC kononnya untuk diaudit pegawai polis berkenaan bagi membolehkan dia tidak didakwa atas ‘kesalahan’ berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sehari selepas memberikan butiran yang diminta suspek, mangsa menyedari terdapat transaksi pindahan wang melalui dalam talian dilakukan sebanyak RM50,000 ke dalam akaun seorang individu.

Katanya, selepas transaksi pertama, mangsa menyedari ada dua kali lagi transaksi dalam tempoh dua hari, dengan jumlah RM25,000 setiap transaksi ke dalam akaun milik seorang individu lain.

“Mangsa sekali lagi dihubungi suspek sebelum diminta memasukkan sejumlah wang lagi ke dalam akaun miliknya kononnya bagi tujuan mendapatkan semula wang yang sudah dipindahkan dengan mendakwa Bank Negara Malaysia sudah selesai mengaudit akaunnya,” katanya.

Stanley berkata, mangsa bagaimanapun curiga selepas didesak suspek menyebabkan beliau tidak mengendahkan permintaan itu sebelum membuat laporan polis semalam, untuk siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X