Ahad, 30 September 2018 | 9:20am
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kereta Proton Satria di persimpangan lampu isyarat di Jalan Bangi Avenue, Bangi, malam tadi. - Foto ihsan Bomba

Suami isteri selamat selepas kereta dinaiki terbakar

BANGI: Tindakan pantas seorang lelaki memberhentikan kenderaan sebaik menyedari kereta dinaiki terbakar membantu menyelamatkan nyawanya serta isteri dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat di Jalan Bangi Avenue, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kereta Proton Satria dinaiki mangsa, Erman Mahrilar, 43, bersama isterinya musnah akibat kebakaran terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Rosman Majid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 9.03 malam.

KERETA Proton Satria yang musnah dalam kebakaran itu. - Foto ihsan Bomba

“Seramai enam anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati api sedang marak sebelum kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya beberapa minit kemudian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Rosman berkata, kejadian disedari oleh mangsa yang dikatakan melihat asap keluar daripada bahagian enjin kereta berkenaan.

“Mangsa kemudian memberhentikan kenderaan dan keluar dari kereta terbabit bersama isterinya. Api kemudian semakin marak menyebabkan orang awam menghubungi balai bomba untuk memadamkan kebakaran kereta itu.

“Mangsa dan isterinya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

KEBAKARAN berpunca daripada bahagian enjin kereta berkenaan. - Foto ihsan Bomba

Berita Harian X