Sabtu, 29 September 2018 | 2:50pm
KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Lorong Kenanga, Batu Buruk. - Foto Hanneeyzah Bariah Baharin
KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Lorong Kenanga, Batu Buruk. - Foto Hanneeyzah Bariah Baharin

Rumah terbakar, pasangan warga emas terselamat

KUALA TERENGGANU: “Kami tak sedar bahagian bawah rumah terbakar sehinggalah ada jiran menjerit ada kebakaran. Kalau tak mungkin kami dah rentung,” kata Ismail Zaid, 79.

Ismail berkata, dia dan isterinya, Zainon Kasim, 69, baru selesai solat Isyak, sebelum kediaman dua tingkat mereka di Lorong Kenanga, Batu Buruk, di sini, terbakar jam 8.30 malam tadi.

Beliau yang menghidap sakit jantung berkata, sebaik dimaklumkan jiran, saya turun meninjau bahagian bawah rumah yang dijadikan kedai runcit dan terkejut melihat api mulai marak dari arah stor kedai.

“Tidak lama kemudian api mula merebak sehingga beberapa tong gas yang disimpan di dalam kedai meletup.

“Saya tak sempat berbuat apa-apa dan segera membantu isteri yang mengalami sakit saraf turun menyelamatkan diri kerana api semakin marak sehingga menyambar ke bahagian atas rumah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ismail berkata, walaupun kedai runcitnya musnah dan semua barangan hangus terbakar, beliau bersyukur dia dan isteri selamat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar, berkata seramai 17 anggota bersama kekuatan tiga jentera dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Anggota bomba mengambil masa hampir setengah jam untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

“Kerugian dianggarkan sebanyak RM400,000 dan punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas. Namun, kita masih menjalankan siasatan,” katanya.

Berita Harian X