Rabu, 26 September 2018 | 1:24pm

Pekebun haram didakwa beri suapan RM5,000

KUANTAN: Seorang pengusaha kebun sayur haram dituduh di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini, hari ini, kerana memberi suapan kepada Timbalan Komander Operasi Ops Gading di Cameron Highlands, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Rayhan Shahid, 45, yang mengaku tidak bersalah, didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 Mei dan 21 Mei 2015 di dua lokasi berasingan di kawasan pusat peranginan terkenal berkenaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohamad Zakwan Mokhtar.

Rayhan dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 11 malam di Coffee House, Hotel Heritage, Cameron Highlands dengan memberi suapan berjumlah RM3,000 kepada Timbalan Komander Operasi Ops Gading, Sanifah Yusof bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan terhadap tertuduh dan tanah kebun diusahakan di Lembah Bertam, dekat Cameron Highlands.

Beliau juga dituduh melakukan kesalahan di Restoran Strawberry Park Resort, Cameron Highlands dengan memberi suapan berjumlah RM2,000 kepada orang sama bagi mengelak dikenakan tindakan melakukan kesalahan mengikut Kanun Tanah Negara kerana mengusahakan tanah kebun secara tidak sah.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib mengarahkan tertuduh yang ditahan pada 1 Julai 2015, diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tertuduh juga diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 17 Oktober ini bagi tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.

RAYHAN (tengah) diiringi pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberikan suapan kepada Timbalan Komander Operasi Ops Gading di Cameron Highlands, tiga tahun lalu. - NSTP/ Muhd Asyraf Sawal
RAYHAN (tengah) diiringi pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberikan suapan kepada Timbalan Komander Operasi Ops Gading di Cameron Highlands, tiga tahun lalu. - NSTP/ Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X