Ahad, 23 September 2018 | 3:24pm
RAKAMAN video menunjukkan suspek ditahan orang awam selepas meragut rantai emas seorang lelaki di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, semalam.
RAKAMAN video menunjukkan suspek ditahan orang awam selepas meragut rantai emas seorang lelaki di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, semalam.

Peragut dicekup orang ramai

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas seorang lelaki menghalang motosikal dinaiki penjenayah yang meragut rantai emasnya membolehkan peragut berkenaan dicekup orang ramai dalam kejadian di Jalan Tun Sambanthan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu, mangsa berusia 38 tahun dikatakan sedang berdiri di tepi sebuah kereta yang diletakkan di kawasan berkenaan sebelum dihampiri suspek yang menunggang motosikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe, berkata suspek yang datang dari arah belakang bertindak meragut rantai leher mangsa sebelum memecut motosikal Yamaha 135LC ditunggangnya.

“Bagaimanapun, mangsa mengejar suspek dan berjaya menghalang motosikalnya yang kemudian terjatuh berhampiran lokasi kejadian.

“Orang ramai yang berada di lokasi kejadian kemudian membantu mangsa menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Arifai berkata, suspek berusia 33 tahun itu kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Laporan berhubung kejadian itu dibuat di Pondok Polis NU Sentral. Siasatan kes ini masih dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beberapa rakaman video kejadian itu turut tular di media sosial sejak semalam.

Berita Harian X