Jumaat, 21 September 2018 | 11:56am

2 suspek penculik mati ditembak dalam Operasi Gasak

KUNAK: Pasukan keselamatan menembak mati dua lelaki disyaki tali barut kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) dalam kejadian berbalas tembakan di perairan daerah ini berhampiran Pulau Boheyan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, kedua-dua suspek berusia 50-an menaiki sebuah bot pam warna kuning melarikan diri dari pemeriksaan pasukan keselamatan menerusi Operasi Gasak di penempatan atas air di Kampung Kunak Tiga, di sini.

Sepasukan polis diketuai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Ketenteraman Awam Polis Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir kemudian mengejar bot terbabit sambil memberi amaran supaya berhenti, namun suspek melepaskan beberapa das tembakan.

Susulan itu, polis terpaksa melepas tembakan balas untuk mempertahankan diri dan sebaik bot terbabit dipintas, tembakan dilepaskan ke arah suspek sebelum kedua-duanya mati di tempat kejadian akibat kecederaan di badan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata pasukan keselamatan menemui pistol jenis Revolver .22 dan .38, tujuh peluru hidup jenis .22 dan sebutir peluru hidup .38 bersama lima kelongsong serta sebilah pedang samurai.

“Kedua-dua suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dipercayai warga Filipina disyaki tali barut kumpulan KFR yang membuat tinjauan pergerakan nelayan sebelum maklumat disalurkan kepada penculik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, hari ini.

SENJATA yang ditemui daripada dua suspek. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming
SENJATA yang ditemui daripada dua suspek. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming

SENJATA yang ditemui daripada dua suspek. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming
SENJATA yang ditemui daripada dua suspek. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming

Hazani berkata, dalam operasi sama sebelum itu pihaknya merampas sebuah bot pam tertulis pada badan bot ‘Ainigel’ berserta gambar burung helang yang disyaki terbabit dalam penculikan dua nelayan warga Indonesia di perairan Semporna, 11 September lalu.

Terdahulu, Operasi Gasak Khas itu membabitkan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK Sabah), IPD Kunak, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Tindakan Khas (UTK) dan pasukan ESSCOM.

Dalam operasi itu, seramai 18 lelaki ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta 16 bot pam dirampas.

Pada 11 September lalu, dua kru bot warga Indonesia diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Pulau Bodgaya di Semporna yang menyerbu bot nelayan mereka sebelum dipercayai dilarikan ke perairan negara jiran.

Kedua-dua mangsa berusia 30-an itu adalah juragan bot Dwi Jaya 1 yang dikenali sebagai Samsul dan pembantunya, Osman.

Ini kali kedua pada tahun ini pasukan keselamatan menembak mati suspek KFR selepas empat penjenayah rentas sempadan mati dalam kejadian berbalas tembakan di perairan FELDA Sahabat, Lahad Datu, 8 Mei lalu.

Pada 8 Disember 2016, pasukan keselamatan menembak mati tiga penculik dan dua lagi ditangkap dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Semporna.

HAZANI (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas dari dua suspek yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di perairan daerah ini berhampiran Pulau Boheyan. Turut hadir, Ketua Staf Pusat Operasi ESSCOM, Brig Jen Datuk Md Rahim Mohamad dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun (kiri). - NSTP/Abdul Rahemang Taiming
HAZANI (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas dari dua suspek yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di perairan daerah ini berhampiran Pulau Boheyan. Turut hadir, Ketua Staf Pusat Operasi ESSCOM, Brig Jen Datuk Md Rahim Mohamad dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun (kiri). - NSTP/Abdul Rahemang Taiming
Berita Harian X