Selasa, 18 September 2018 | 3:35pm
Lokasi kejadian seorang remaja lelaki lemas di kolam bekas kuari di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Tanjung Panjang di Sukau, di Kinabatangan. - Foto ihsan PDRM
Lokasi kejadian seorang remaja lelaki lemas di kolam bekas kuari di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Tanjung Panjang di Sukau, di Kinabatangan. - Foto ihsan PDRM

Kejadian lemas remaja lelaki tiada unsur jenayah

KINABATANGAN: Kejadian lemas membabitkan seorang remaja lelaki di kolam bekas kuari di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Tanjung Panjang di Sukau, semalam, tiada unsur jenayah.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mayat Mohd Zamzuri Awang, 18, ditemui terapung di kolam bekas tapak kuari batu berkenaan selepas lebih 10 jam dilaporkan hilang disyaki tenggelam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata sebelum kejadian, mangsa bersama keluarga dan rakan ke situ, kelmarin, untuk mandi.

“Siasatan awal mendapati, lokasi berkenaan adalah tempat pekerja ladang mandi dan mencuci pakaian.

“Pada jam 5 petang, mangsa dilaporkan lemas dan tenggelam. Usaha mencari dilakukan oleh keluarga dan rakannya, namun gagal sehingga kejadian dilaporkan kepada kami.

“Operasi mencari dan menyelamat kemudian dijalankan dan pada jam 4 pagi semalam, mayat remaja itu ditemui selepas timbul di tengah kolam terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

A Sahak berkata, mayat kemudian dibawa ke bilik mayat Hospital Kinabatangan untuk tindakan lanjut.

“Daripada keterangan saksi kejadian, mangsa dipercayai lemas kerana gagal untuk berenang. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih diteruskan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X