Selasa, 18 September 2018 | 2:37pm
TIMBALAN Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Nadzri Siron di Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur di Dewan Keushawanan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Kota, Pengkalan Chepa. - Foto Syamsi Suhaimi
TIMBALAN Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Nadzri Siron di Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur di Dewan Keushawanan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Kota, Pengkalan Chepa. - Foto Syamsi Suhaimi

Penjara Pengkalan Chepa paling sesak

KOTA BHARU: Penjara Pengkalan Chepa di sini menjadi penjara paling sesak di negara ini dengan jumlah banduan melebihi 2,900 berbanding kapasiti yang hanya mampu menampung 1,500 orang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Nadzri Siron, berkata ada penjara mengalami kesesakan banduan antara 40 hingga 50 peratus melebihi kapasiti yang sepatutnya, namun Penjara Pengkalan Chepa lebih daripada 100 peratus.

“Justeru, untuk menangani masalah kesesakan banduan di Penjara Pengkalan Chepa, peruntukan diperlukan untuk membina bangunan tambahan kerana konsep penjara ini berkonsepkan terbuka dan tidak mempunyai sel sejak mula beroperasi 1950-an.

“Bagi penjara moden seperti di Sungai Buloh, Kajang dan Sungai Udang tidak mengalami kesesakan banduan yang teruk kerana binaannya berkonsepkan sel dengan tahap keselamatan lebih baik berbanding di Penjara Pengkalan Chepa yang berkonsep terbuka seperti dormitori.

“Walaupun mereka dihukum disebabkan kesalahan, sikap belas kasihan perlu ada untuk menjaga hak asasi sebagai manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Mesej Penjara Peringkat Zon Timur 2018 ‘Membendung Perlakuan Jenayah Dan Pengulangan Jenayah’ di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar; Pengarah Penjara Kelantan, Timbalan Komisioner Penjara Hamzani Che Ibrahim; Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Komisioner Penjara Mat Yaacob dan Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan.

Nadzri berkata, beberapa program turut dilaksanakan dan antaranya, Program Pemulihan Pemasyarakatan (CRP) yang menempatkan banduan-banduan di enam kem tentera termasuk di Kem Desa Pahlawan dan Gemas untuk banduan melaksanakan tugas di luar penjara.

“Selain itu, kami juga mengadakan kerjasama dengan syarikat yang sudi membantu pihak kami dalam program pengambilan banduan ini sebagai pekerja untuk membantu mengurangkan sedikit kesesakan penjara pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 3,700 banduan muda berusia bawah 21 tahun yang menjalani hukuman penjara kebanyakannya terbabit dengan dadah.

“Kerajaan sedang mengkaji undang-undang sedia ada supaya mereka yang terbabit dengan penagihan dadah tidak diletakkan dalam penjara sebaiknya ditempatkan di pusat pemulihan dadah,” katanya.

Berita Harian X