Isnin, 17 September 2018 | 7:33pm
 PEGAWAI Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad (dua kiri) bersama anggota PPM menunjukkan sebahagian rokok seludup bernilai anggaran RM278,800 dirampas untuk diseludup ke negara jiran di Pengkalan Haram Badang, Pengkalan Kubor, ketika sidang media di Markas PPM, Pengkalan Kubor. - Foto Syamsi Suhaimi

Rokok seludup RM278,800 dirampas

TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor merampas 41 kotak rokok seludup bernilai RM278,800 dalam serbuan di Pengkalan Haram Badang, Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Turut dirampas sebuah van yang digunakan bagi kegiatan penyeludupan itu.

Rokok yang dirampas dalam serbuan jam 10 pagi itu dipercayai diperoleh dari Selangor untuk diseludup ke negara jiran menggunakan bot menyeberangi Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia dan Thailand.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad, berkata ketika serbuan dilakukan empat lelaki berada di tepi pangkalan itu sedang memunggah bungkusan kotak rokok yang dipercayai untuk di seludup ke Thailand.

“Suspek berjaya melarikan diri dengan menaiki dua bot enjin galah bersama sejumlah rokok yang berada di tepi tebing ke perairan negara jiran.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut pada van Toyota Hiace menemui 41 kotak mengandungi 2,050 karton rokok jenama Astro,” katanya pada sidang media di Pejabat PPM di Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan rokok seludup diambil dari Lembah Klang, Selangor untuk pasaran negara jiran.

Katanya, kes berkenaan diserahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengikut Akta Kastam 1967.

“Siasatan lanjut juga masih dilakukan berhubung rampasan rokok berkenaan.

“Kita juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Berita Harian X