Jumaat, 14 September 2018 | 12:09pm

Bekas pengawal keselamatan diperintah bela diri

SHAH ALAM: Seorang bekas pengawal keselamatan diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang ibu muda yang masih dalam pantang selepas bersalin, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd Azmirul Shamsuddin, 39.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang itu didakwa membunuh Rabiatul Adawiah Abd Aziz, 24, yang juga rakan serumahnya di Pangsapuri Mentari Court, Sungai Way, Petaling Jaya pada jam 8.22 malam, 4 Mac 2015.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohd Azman dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati dengan elemen bahawa tertuduh menyedari perbuatan itu boleh menyebabkan kematian mangsa.

"Berdasarkan hujahan pendakwaan, asid deosiribonukleik (DNA) tertuduh ditemui pada kain lampin bayi (yang diikat bagi menutup mulut mangsa).

"Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang dilakukan oleh tertuduh," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim manakala tertuduh diwakili peguam, Halim Ashgar Mohd Hilmi.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 September depan.

Seramai 14 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula sejak Januari tahun ini.

Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat bersama bayi perempuannya berusia sebulan setengah yang sedang tidur di sisinya.

Kejadian itu disedari suami mangsa yang baru pulang bekerja selepas mendapati pintu rumah berkunci dari dalam.

Beliau sebelum itu terpaksa memecahkan pintu rumah selepas gagal dibuka dengan kunci, malah panggilannya turut tidak dijawab.

Pemeriksaan polis mendapati tiada kesan kecederaan ditemui pada mayat wanita itu namun terdapat tompokan darah dan sejenis senjata tajam.

Selain pasangan suami isteri itu, tiga lagi individu lain mendiami rumah berkenaan yang dijadikan sebagai kuarters pengawal keselamatan sebuah kilang elektronik di Kelana Jaya.

MOHD Azmirul (tengah) diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi, Shah Alam di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ibu muda yang masih dalam pantang selepas bersalin, tiga tahun lalu. - Foto Faiz Anuar
MOHD Azmirul (tengah) diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi, Shah Alam di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ibu muda yang masih dalam pantang selepas bersalin, tiga tahun lalu. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X