Isnin, 10 September 2018 | 7:34pm
ANGGOTA bomba mengangkat seorang remaja lelaki yang cedera selepas dihempap pokok di kawasan perkelahan air terjun Jangkar, Lundu. - Foto Mohd Roji Kawi
ANGGOTA bomba mengangkat seorang remaja lelaki yang cedera selepas dihempap pokok di kawasan perkelahan air terjun Jangkar, Lundu. - Foto Mohd Roji Kawi

Remaja maut dihempap pokok

LUNDU :Keseronokan seorang remaja lelaki mengikut bapanya mengiringi sekumpulan pengunjung ke tempat perkelahan di air terjun Jangkar, di sini, bertukar tragedi apabila dia maut dihempap pokok tumbang, tengah hari tadi.

Ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 16 tahun dikatakan sedang berehat di aras batu apabila tanah di belakangnya tiba-tiba runtuh menyebabkan pokok di atas bukit tumbang.

Mangsa yang dipercayai tergamam dengan kejadian itu tidak sempat melarikan diri, lalu dihempap pokok berkenaan.

Sumber berkata, beberapa pengunjung, termasuk seorang doktor berjaya mengalihkan pokok berkenaan untuk mengeluarkan mangsa.

Doktor terbabit juga berusaha memberikan rawatan kecemasan, namun mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman yang teruk.

"Ketika kejadian, mangsa mengikut bapanya yang juga seorang juru pandu arah membawa sekumpulan pengunjung ke kawasan perkelahan itu," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu bersama dua anggota polis dikerah ke lokasi kejadian.

"Lokasi kejadian terletak kira-kira empat kilometer dari jalan utama dan mengambil masa perjalanan melalui denai dan mendaki bukit selama lebih satu jam.

"Mayat mangsa berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba pada jam 5 petang dan operasi ditamatkan pada jam 5.10 petang selepas mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X