Isnin, 10 September 2018 | 1:37pm
ANGGOTA bomba yang sedang memadamkan kebakaran rumah setinggan di Kampung Gelam, Sandakan, ditendang dan dipukul suspek lelaki. - Foto Hazsyah Abdul Rahman
ANGGOTA bomba yang sedang memadamkan kebakaran rumah setinggan di Kampung Gelam, Sandakan, ditendang dan dipukul suspek lelaki. - Foto Hazsyah Abdul Rahman

Lelaki tendang bomba direman

SANDAKAN: Lelaki yang dipercayai menendang anggota bomba yang sedang memadamkan kebakaran rumah setinggan di Kampung Gelam, Jalan Leila semalam, direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata polis mendapat kebenaran reman terhadap suspek bermula semalam sehingga Rabu ini.

“Lelaki berusia 32 tahun itu adalah penduduk kampung berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, suspek disyaki bertindak agresif ke atas mangsa selepas terdesak dan cemas melihat rumah yang didiami keluarganya terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

NSTP semalam melaporkan seorang lelaki ditahan selepas menendang dan memukul anggota bomba yang sedang memadamkan kebakaran.

Dalam kejadian itu, anggota bomba berusia 30 tahun yang sedang berusaha memadamkan api tiba-tiba dipukul suspek dan keadaan menjadi kecoh seketika.

Sejurus kemudian, anggota bomba terbabit dengan tenang menyambung tugas sehingga operasi bomba tamat pada jam 4.32 pagi dan dianggarkan sebanyak 35 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran terbabit.

Berita Harian X