Jumaat, 31 Ogos 2018 | 3:58pm
PENDUDUK meninjau keadaan surau yang musnah akibat dipukul ribut. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
PENDUDUK meninjau keadaan surau yang musnah akibat dipukul ribut. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

'Ingatkan dunia nak kiamat dah'

PARIT BUNTAR: Lebih 30 jemaah tidak sempat menunaikan solat subuh di surau bersebelahan Pusat Ilmu Dan Kemasyarakatan (PIDK) Sungai Baru Tengah, Kuala Kurau, di sini, apabila rumah ibadat itu musnah dilanda ribut, awal pagi tadi.

Penghuni PIDK itu, Sity Rokiah Ariff, 71, berkata beliau bersama jemaah lain sedang bersiap untuk menunaikan solat subuh di surau berkenaan sebelum terdengar bunyi deruan angin kencang dan hujan lebat kira-kira jam 5.40 pagi.

“Mak cik bersama penghuni wanita lain di sini sudah mengambil wuduk dan memakai telekung. Bagaimanapun ketika hendak keluar ke surau, tiba-tiba hujan lebat dengan bunyi angin berdengung kuat.

IMAM Surau Sungai Baru Tengah, Mohd Juri Khadri (kiri) bersama Pengerusi Surau Yahya Mokhri (tengah)bersama penduduk membersihkan surau yang ditakungi air hujan. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
IMAM Surau Sungai Baru Tengah, Mohd Juri Khadri (kiri) bersama Pengerusi Surau Yahya Mokhri (tengah)bersama penduduk membersihkan surau yang ditakungi air hujan. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

“Tidak lama kemudian, terdengar bunyi dentuman kuat berhampiran PIDK. Kami tergamam apabila mendapati bumbung surau diterbangkan ribut,” katanya ketika ditemui media di PIDK itu, hari ini.

Dalam kejadian ribut kira-kira 30 minit itu, beliau berkata, pagar utama dan dua tiang roman turut runtuh, malah papan tanda sepanjang tiga meter PIDK diterbangkan sebelum mengenai sebuah rumah tidak berpenghuni di dalam kawasan kediaman berkenaan.

“Ketika itu, kami semua ketakutan dan ingatkan dunia nak kiamat dah. Mak cik sempat melaungkan azan tetapi terpaku di depan pintu rumah PIDK ini sebab takut sangat,” katanya.

Sementara itu, Imam Surau Sungai Baru Tengah, Mohd Juri Khadri mengaku terkejut setiba di tempat kejadian untuk menunaikan solat subuh apabila melihat bumbung surau berkenaan berada di jalan utama.

“Surau ini mampu menampung 100 jemaah pada satu-satu masa. Namun berikutan kejadian ini, ia tidak dapat digunakan untuk sementara waktu kerana hujan sudah membasahi segenap sudut, malah ada air bertakung di dalam premis.

“Kami akan berbincang dengan pihak PIDK untuk menggunakan dewan utama kediaman itu sebagai surau sementara,” katanya.

Pengerusi surau terbabit, Yahya Mokhri, berkata sebuah tabung khas akan diwujudkan bagi mengumpul dana membaik pulih rumah ibadat itu, selain berusaha mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan.

Berita Harian X