Jumaat, 31 Ogos 2018 | 10:32am
KERETA Honda City musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kereta Honda City yang terbakar dalam kemalangan di Kilometer 16.7 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menghala ke Kuchai Lama, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ihsan Bomba

Pemandu rentung kereta terbakar

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kereta rentung selepas kenderaan dinaiki terbakar dalam kemalangan di Kilometer 16.7 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menghala ke Kuchai Lama, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.07 pagi tadi.

“Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati sebuah kereta Honda City terbakar.

“Kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk memadamkan kebakaran yang menyebabkan kereta itu musnah sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Khirudin berkata, sebaik kebakaran berjaya dipadamkan, kami menemui mangsa dalam keadaan rentung di tempat duduk pemandu.

KERETA Honda City musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu. - Foto ihsan Bomba

“Tidak dapat dipastikan identiti dan jantina mangsa memandangkan mayat mangsa dalam keadaan rentung.

“Kes itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran itu dipercayai berlaku akibat kereta itu terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

“Impak kemalangan itu menyebabkan kereta berkenaan terbakar.

“Mangsa mungkin tersepit di tempat duduk pemandu menyebabkan dia tidak berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Berita Harian X