Jumaat, 31 Ogos 2018 | 8:45am
ANGGOTA Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lans Koperal Fatin Abu Hanifah (kiri) mengeluarkan saman kepada seorang penunggang motosikal yang ditahan dalam sekatan jalan raya yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur sempena Ambang Merdeka di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

ASP Pilly Dewi Ros memeriksa sebuah motosikal ketika Operasi Bersepadu oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. - Foto Sairien Nafis
ASP Pilly Dewi Ros memeriksa sebuah motosikal ketika Operasi Bersepadu oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. - Foto Sairien Nafis

1,083 saman dikeluar dalam Ops Bersepadu Ambang Merdeka

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,083 saman dikeluarkan polis dalam Ops Bersepadu Ambang Merdeka yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur di enam lokasi di sekitar ibu kota, malam tadi.

Dalam operasi selama empat jam yang bermula jam 10.30 malam itu, kesalahan membabitkan tiada lesen kenderaan memandu (LKM) dan LKM tamat tempoh mencatatkan saman paling tinggi, iaitu sebanyak 422 saman.

Timbalan Ketua JSPT, Superintendan Sarifudin Mohd Saleh berkata, sebanyak 1,938 kenderaan diperiksa di enam lokasi iaitu di Jalan Loke Yew, Jalan Kuching, Jalan Genting Klang, Jalan Bangsar, Jalan Syed Putra dan Jalan Raja Laut.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 28 motosikal dan lapan kereta disita dan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur kerana pelbagai kesalahan. Jumlah keseluruhan saman dikeluarkan sebanyak 1,083 saman.

"Saman membabitkan LKM paling tinggi iaitu 422 saman, kemudian kesalahan cukai jalan 222 saman, diekori kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi sebanyak 108 saman," katanya ketika sidang media sejurus operasi tamat, jam 2 pagi tadi.

Beliau berkata, seorang remaja berusia 16 tahun ditahan kerana menunggang motosikal yang didapati dicuri bersabit laporan polis di Bandar Baru Klang, Klang, Selangor pada 2011.

"Seorang lagi lelaki berusia 19 tahun turut ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu, manakala seorang lelaki lagi didapati menunggang motosikal yang tidak berdaftar, " katanya.

Berita Harian X