Rabu, 29 Ogos 2018 | 6:16pm
AKSEM Perlis berjaya menemui 150 kilogram tepung gandum kawalan untuk diseludup di negara jiran di sebuah premis tertutup di Arked Niaga Wang Kelian.
AKSEM Perlis berjaya menemui 150 kilogram tepung gandum kawalan untuk diseludup di negara jiran di sebuah premis tertutup di Arked Niaga Wang Kelian.

Arked Niaga Wang Kelian tumpuan penyeludup

PADANG BESAR: Arked Niaga Wang Kelian yang ditutup sejak 2015 dikesan menjadi lokasi kegiatan penyeludup menyimpan barangan kawalan sebelum diseludup ke negara jiran.

Taktik berkenaan terbongkar malam tadi selepas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis berjaya mengesan kegiatan itu.

Komander AKSEM Perlis, Syed Basri Syed Ali, berkata dalam operasi jam 7.30 malam itu, pihaknya menemui 150 kilogram tepung gandum yang dikategori sebagai barangan kawalan di hadapan sebuah premis di arked itu.

“Berdasarkan maklumat awam, AKSEM ke lokasi dan menemui sejumlah kotak tepung gandum ditutup dengan kain kanvas dan tersorok daripada pandangan awam.

“Kami turut menunggu selama satu jam di sekitar kawasan berkenaan bagi mengenal pasti individu atau kumpulan yang datang mengambil barangan terbabit namun tiada,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Syed Basri berkata, pihaknya percaya semua tepung berkenaan cuba diseludup ke Thailand berikutan harganya yang tinggi di sana.

“Jumlah barangan yang dirampas bernilai RM203 dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Berita Harian X