Selasa, 28 Ogos 2018 | 1:42pm

Suami isteri dipenjara 14 bulan tipu pekerja kontrak

KUALA LUMPUR: Suami isteri masing-masing dihukum penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menipu seorang pekerja kontrak warga Indonesia bagi mendapatkan kad pengenalan penduduk tetap Malaysia, dua tahun lalu.

Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhkan hukuman itu terhadap pemandu bas, Samsul Bahri, 48, dan suri rumah, Irna Jamaris, 45, seorang warga Indonesia selepas kedua-dua tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh tangkap pada 27 Januari lalu.

Umzarul An-Nur turut memerintahkan Samsul dihukum dengan satu sebatan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan curang menipu dan memperdaya Fahruz Nanang, 35, dengan cara menawarkan kad pengenalan penduduk tetap Malaysia yang tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang RM40,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di No 42, Lorong Raja Bot, Jalan Raja Laut, di sini, antara Mac dan Mei 2016.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Akmal Anuar mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberikan hukuman ringan kepada mereka atas alasan mempunyai anak yang masih kecil dan bersekolah.

Akmal bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

Berita Harian X