Isnin, 27 Ogos 2018 | 2:38pm

Bekas pegawai PERHILITAN dipenjara 4 tahun

KUANTAN: Bekas pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dihukum penjara empat tahun selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM23,400 pada November 2013.

Hakim Dazuki Ali memutuskan tertuduh, Abu Zahrim Ismail, 45, bersalah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum penjara empat tahun dan denda RM117,000 atau penjara 10 bulan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Penguasa Taman Negara, Jerantut, dengan niat memperdaya Ketua Pengarah PERHILITAN membuat tuntutan palsu atas nama Baraplas Kreatif Enterprise, pada 28 November 2013.

Tuntutan palsu itu membabitkan pembelian 28 unit beg sandang bersaiz 75 liter jenama Deuter dan 60 unit drypack 30 liter.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, manakala tertuduh diwakili peguambela, Datuk Hanif Hassan.

Mahkamah membenarkan permohonan peguambela tertuduh menangguhkan hukuman penjara bagi memberi peluang mengemukakan rayuan hukuman di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Tertuduh bagaimanapun perlu membayar denda ditetapkan hari ini juga selepas rayuan menangguhkan bayaran denda ditolak Hakim Dazuki dengan mengambil kira tempoh perbicaraan kes itu yang sudah berlanjutan sejak dua tahun lalu.

Abu Zahrim Ismail dihukum penjara empat tahun selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM23,400 pada November 2013. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Abu Zahrim Ismail dihukum penjara empat tahun selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM23,400 pada November 2013. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X