Sabtu, 25 Ogos 2018 | 9:49am
SEORANG kanak-kanak perempuan warga China cedera selepas terjatuh daripada palang ketika berada di taman permainan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jalan Ampang, semalam.
SEORANG kanak-kanak perempuan warga China cedera selepas terjatuh daripada palang ketika berada di taman permainan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jalan Ampang, semalam.

Kanak-kanak cedera terjatuh daripada palang

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan warga China cedera selepas terjatuh daripada palang ketika berada di taman permainan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jalan Ampang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia lima tahun dikatakan sedang bermain di taman permainan berkenaan sambil ditemani ibu dan bapanya masing-masing berusia 30-an.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Leftenan (PA) Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.11 malam tadi.

"Seramai empat anggota bersama satu ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati mangsa terbaring berhampiran palang berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Shahrul Kamar berkata, berdasarkan keterangan daripada ibu mangsa, kanak-kanak itu dikatakan bergayut di palang berkenaan sebelum terjatuh.

"Kejadian itu menyebabkan dia cedera di siku kanan dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut," katanya.

Berita Harian X