Selasa, 21 Ogos 2018 | 2:48pm

Ibu 2 anak didakwa sembunyikan wang lebih RM300,000

PETALING JAYA: Seorang pengusaha restoran didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan membantu menyembunyikan wang berjumlah RM362,219, empat tahun lalu.

Tertuduh, Siti Zuriani Johari, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut empat pertuduhan, wanita itu didakwa membantu menyembunyikan wang keseluruhannya berjumlah RM362,219.02 milik seorang wanita di AmIslamic Bank cawangan Taman Tun Dr Ismail, di sini, antara 11 September 2014 dan 9 Disember 2014.

Ibu dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamaf Firdaous Mohamed Idris mencadangkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, Siti Zuriani yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah atas alasan suaminya baru sahaja selesai menjalani pembedahan selepas dirompak selain tiada punca pendapatan kerana restorannya tidak dapat dibuka kerana ketiadaan tukang masak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 September ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X