Ahad, 12 Ogos 2018 | 10:40am
EMPAT nelayan warga Indonesia ditahan kerana menangkap ikan di perairan Perak. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
EMPAT nelayan warga Indonesia ditahan kerana menangkap ikan di perairan Perak. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
BOT nelayan warga Indonesia yang ditahan. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
BOT nelayan warga Indonesia yang ditahan. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

4 nelayan Indonesia ditahan

LUMUT: Seorang tekong dan tiga awak-awak warga Indonesia yang sedang asyik mengaut hasil laut di perairan negara ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Dalam kejadian jam 12.58 tengah hari itu, bot nelayan asing terbabit dikesan pada kedudukan kira-kira 50 batu nautika (92.6 kilometer) dari barat laut Pulau Pangkor, dekat sini .

Bot berkenaan yang berpangkalan di Medan, Indonesia itu dipercayai sudah dua hari berada di perairan negara dan sebanyak kira-kira 150 kilogram hasil laut turut dirampas daripada bot berkenaan.

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, kegiatan bot berkenaan dikesan sepasukan anggota dari Kapal Maritim Marlin yang sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan Perak.

Katanya, tekong dan tiga orang awak-awak warga Indonesia yang ditahan itu berusia antara 15 tahun hingga 55 tahun.

"Mereka ditahan ketika sedang melakukan aktiviti merawai ikan kira-kira 50 batu nautika dari barat laut Pulau Pangkor dan semua nelayan terbabit kemudian diiringi ke Jeti Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan negara.

Berita Harian X