Jumaat, 10 Ogos 2018 | 12:44pm

Dua lelaki ditahan bersama dadah

KOTA BHARU: Seorang pengutip kelapa serta rakannya ditahan bersama dadah disyaki syabu dan daun ketum bernilai lebih RM6,000 di dalam bilik sebuah hotel di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, kelmarin.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 30 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata hasil maklumat, pegawai dan anggotanya membuka bilik berkenaan dengan menggunakan kunci pendua daripada hotel terbabit.

Katanya, sebaik diserbu, pihaknya mendapati ada dua lelaki di dalam bilik berkenaan.

“Pemeriksaan kemudian menemui dua beg silang mengandungi dokumen pengenalan diri, kad bank, empat paket plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu, satu paket plastik mengandungi 10 biji disyaki pil kuda serta wang tunai RM50.

“Pemeriksaan lanjut menemui empat mengandungi sebanyak 27 bungkusan kecil plastik cerah berisi daun ketum yang diikat dengan getah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine

Katanya, mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Berita Harian X