Rabu, 1 Ogos 2018 | 11:09pm

Eksekutif akaun tidak mengaku salah mencabul peniaga wanita

KUALA LUMPUR: Seorang eksekutif akaun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencabul seorang wanita dengan mencium pipi kiri dan memeluk pinggang mangsa di sebuah rumah, November tahun lalu.

Mohd Shaffi Mokhtar, 23, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mahyudin Mohamad Som.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Shaffi didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa berusia, 25, yang juga seorang peniaga atas talian di kawasan rumah, Pangsapuri Penara, Bandar Permaisuri, Cheras, di sini, jam 10.20 pagi, 20 November 2017.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang buruh warga India mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan cuba mencabul kehormatan dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang suri rumah serta tinggal lebih tempoh di negara ini.

Raja Mohamed, 47, dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap suri rumah berusia 26 tahun yang juga warga India, dengan niat cuba mencabul kehormatan mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Dia turut dituduh menyebabkan kecederaan dengan mencekik leher mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan Projek Perumahan Rakyat Panas, Jalan Usahawan Off, Jalan Genting Klang, Setapak, di sini, jam 3.40 pagi, pada 15 Julai lalu.

Raja Mohamed turut dituduh tingga di negara ini hingga 7 Julai lalu melebihi tempoh yang dibenarkan di perkarangan lokap Jinjang Polis Kuala Lumpur, Sentul, di sini, jam 8 pagi, pada 19 Julai lalu dan didakwa Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 (Pindaan 2002) Akta 155 dan dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama, yang boleh dihukum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin, tidak menawarkan sebarang jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X