Selasa, 31 Julai 2018 | 5:13pm

Polis KL tumpaskan sindiket Macau Scam

KUALA LUMPUR: Menyewa rumah khas untuk kumpul hasil kegiatan menjadi taktik sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau 'Macau Scam', yang dikesan giat mencari mangsa di seluruh negara.

Bagaimanapun, helah itu terbongkar selepas polis melakukan serbuan di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama, di sini, dan menahan empat lelaki warga Taiwan pada 24 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat seorang wanita berusia 47 tahun pada Januari lalu, yang bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat minyak terkemuka.

"Berdasarkan laporan yang dibuat, wanita itu memaklumkan menerima panggilan telefon seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kastam memberitahu mangsa mempunyai tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM16,000 serta terbabit dengan kes jenayah di Kedah.

"Mangsa seterusnya disambung ke talian Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan memaklumkan wanita itu terbabit dengan kes penyalahgunaan dadah serta pengubahan wang haram sebelum panggilan berkenaan disambung ke mahkamah bagi menyiasat aset dan hutang mangsa," katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mazlan berkata, mangsa diminta memberikan maklumat akaun bank miliknya, kononnya bertujuan bagi membersihkan namanya.

"Sebaik mangsa menyerahkan segala butiran akaun bank miliknya, beliau mendapati wang sebanyak RM10,500 di dalam akaun berkenaan dipindahkan ke satu akaun milik seorang lelaki tempatan sebelum menyedari dirinya ditipu.

"Bertindak atas laporan yang dibuat, satu serbuan dilakukan kira-kira jam 6 petang pada 24 Julai lalu di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama, di sini, dan empat lelaki warga Taiwan berusia 27 hingga 35 tahun di tahan.

"Dalam serbuan itu, kami turut merampas 56 kad ATM pelbagai bank, 15 telefon bimbit, enam kad sim telefon bimbit, satu modem WiFi dan satu komputer riba," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai terbabit dengan 24 kes Macau Scam di seluruh negara membabitkan kerugian lebih RM888,000 dan cergas sejak beberapa bulan lalu.

"Kami percaya lokasi serbuan adalah tempat mengumpul hasil kegiatan dan terdapat pusat panggilan beroperasi di kawasan lain.

"Rumah berkenaan disewa pada harga RM3,000 sebulan dengan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.

Kami masih mengesan lelaki berkenaan yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket terbabit.

"Semua suspek ditahan selama tujuh hari bermula 25 Julai hingga hari ini dan akan disambung bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (tiga kiri) menunjukkan barangan rampasan dari ahli sindiket Macau Scam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur. - Foto Owee Ah Chun
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (tiga kiri) menunjukkan barangan rampasan dari ahli sindiket Macau Scam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur. - Foto Owee Ah Chun
Berita Harian X