Khamis, 26 Julai 2018 | 3:41pm
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di celah kereta yang dipandunya yang dirempuh lori kargo dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Bintulu-Tatau, Bintulu. - Foto Erika George

Maut dirempuh lori tayar pecah

BINTULU: Seorang pemandu kereta maut selepas dirempuh lori kargo yang terbabas selepas hilang kawalan apabila salah satu tayarnya pecah dalam kejadian di Jalan Bintulu - Tatau, di sini kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Mangsa, Galambong Awan, 46, yang berasal dari Rumah Sawing, Batu 23 Jalan Bintulu - Miri, di sini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tatau,Nazari Harun, berkata sepasukan pegawai dan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat awam mengenai kemalangan itu bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta jenis Proton Saga berkenaan yang remuk akibat impak pelanggaran kuat.

"Hasil siasatan awal mendapati lori berkenaan yang dalam perjalanan dari arah Sibu, pecah tayarnya, sebelum pemandunya hilang kawalan lalu merempuh kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan.

"Impak pelanggaran menyebabkan kenderaan mangsa terperosok di bawah lori, dan pemandu terbabit tersepit dalam kenderaan itu.

"Kita mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengeluarkan mayat mangsa dari kereta berkenaan, manakala pemandu lori dan kelindannya berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang ramai tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

Berita Harian X