Isnin, 23 Julai 2018 | 3:45pm
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa ditetak dalam kejadian rompak di sebuah stesen minyak di Desa Senadin. - Foto ihsan polis

2 wanita parah ditetak

MIRI: Seorang bapa menyabung nyawa mempertahankan anak dan rakan anaknya yang ditetak perompak dengan parang di sebuah stesen minyak di Desa Senadin di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, Hardi Mohd Muli, 48, bertindak menyelamatkan anaknya, Nurul Balqis, 19, dan rakan sekerja anaknya, Robis William, 23, yang diserang seorang lelaki.

Suspek berusia 57 tahun itu menyerang Nurul Balqis dan Robis yang berkerja di stesen minyak itu ketika cuba menyamun wang di kaunter pembayaran.

Ketiga-tiga mangsa dipercayai ditetak sekurang-kurangnya 17 kali oleh suspek berkenaan, namun lelaki itu berjaya diberkas dengan bantuan orang awam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Miri, Deputi Superintendan Aldrin Junaidi Kutoi, berkata kejadian itu menyebabkan Nurul Balqis retak tengkorak dan cedera di belakang badan, Robis juga cedera di belakang badan, manakala Hardi turut cedera.

"Sebelum kejadian, suspek berpura-pura mencari barang sebelum mengeluarkan parang lalu menetak kedua-dua suspek berkali-kali.

"Bapa kepada Nurul Balqis yang kebetulan mengisi minyak di stesen minyak itu, bertindak menyelamatkan anak perempuannya dan cuba menahan suspek," katanya ketika dihubungi NSTP.

Aldrin berkata, suspek sempat mengambil sejumlah wang dari kaunter stesen minyak berkenaan dan melarikan diri.

"Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan orang awam, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian dan suspek turut cedera akibat dibelasah orang awam.

"Kedua-dua mangsa wanita itu masih dirawat di Hospital Miri," katanya.

Beliau berkata, suspek sudah direman hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X