Isnin, 16 Julai 2018 | 5:09pm
KBS akan mengkaji secara keseluruhan berhubung penganjuran PDIT sama ada bercanggah dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 atau tidak. - Foto Iqmal Haqim Rosman
KBS akan mengkaji secara keseluruhan berhubung penganjuran PDIT sama ada bercanggah dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 atau tidak. - Foto Iqmal Haqim Rosman

PDIT dikendalikan syarikat swasta dilantik

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan mendapatkan maklum balas daripada sebuah syarikat swasta yang dilantik mengelolakan Port Dickson International Triathlon (PDIT) 2018 yang berakhir dengan dua peserta lemas di Pantai Batu 5, Port Dickson, dekat sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani, berkata kejohanan dianjurkan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) tetapi dikendalikan syarikat swasta yang dilantik.

"Kejohanan ini dikelolakan sepenuhnya syarikat swasta terbabit dan kerajaan negeri hanya memberi sokongan melalui LPNS dan MPPD," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohamad Taufek berkata, pihaknya tidak ada maklumat mengenai peraturan tertentu yang perlu dipatuhi bagi kejohanan sukan lasak seumpama itu dan akan menyemaknya dengan syarikat berkenaan.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kami menzahirkan simpati atas insiden yang berlaku. Ia perlu dijadikan iktibar bagi penganjuran pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam yang akan menyiasat sama ada penganjuran itu mendapat kebenaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau sebaliknya sebelum sebarang tindakan susulan.

KBS akan mengkaji secara keseluruhan berhubung penganjuran PDIT sama ada bercanggah dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 atau tidak.

Dalam pada itu, Mohamad Taufek berkata, aktiviti sukan lasak bertaraf antarabangsa itu perlu dikendalikan dengan lebih berhati-hati dan mengutamakan aspek keselamatan.

"Kita tidak mahu kejadian sama berulang dan buat masa ini tunggulah siasatan sepenuhnya oleh pihak berkuasa," katanya.

Seorang peserta dari Pulau Pinang, Tham Wei Wong, 39 dan seorang dari Hong Kong, Yuen Chi Yuen, 41, mati lemas ketika melakukan acara renang sejauh 750 meter di pantai berkenaan, semalam.

Insiden semalam adalah yang kedua berlaku membabitkan peserta PDIT apabila seorang peserta lemas ketika melakukan disiplin sama pada 20 Ogos 2016.

Berita Harian X