Ahad, 15 Julai 2018 | 8:04pm
LORI yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di Kilometer 22 Jalan Johor Bahru-Pontian di Taman Sri Pulai, Skudai. - Foto Facebook
LORI yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di Kilometer 22 Jalan Johor Bahru-Pontian di Taman Sri Pulai, Skudai. - Foto Facebook
ANGGOTA polis mengangkat guru yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di Kilometer 22 Jalan Johor Bahru-Pontian di Taman Sri Pulai, Skudai. - Foto Facebook
ANGGOTA polis mengangkat guru yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di Kilometer 22 Jalan Johor Bahru-Pontian di Taman Sri Pulai, Skudai. - Foto Facebook
PENGGUNA jalan raya membantu guru yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di Kilometer 22 Jalan Johor Bahru-Pontian di Taman Sri Pulai, Skudai. - Foto Facebook
PENGGUNA jalan raya membantu guru yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di Kilometer 22 Jalan Johor Bahru-Pontian di Taman Sri Pulai, Skudai. - Foto Facebook

Guru maut motosikal dirempuh lori

JOHOR BAHRU: Guru lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 22 Jalan Johor Bahru-Pontian di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Muhamad Shaaban Roslan dipercayai guru Sekolah Kebangsaan Bandar Uda 2 (SKBU2) di sini, menunggang motosikal dan dalam perjalanan ke Johor Bahru.

Selain lori dan motosikal mangsa, kemalangan membabitkan dua kenderaan lain iaitu sebuah kereta dan sebuah motosikal di mana penunggangnya cedera parah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Pontian ingin mengelak sebuah kereta lain yang berhenti di lorong kiri kerana terbabit kemalangan.

"Ketika mengelak kereta berkenaan, lori itu terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan dan secara kebetulan, mangsa tiba di lokasi. Mangsa dan pemandu lori tidak sempat mengelak menyebabkan lori itu melanggar motosikal ditunggang mangsa berusia 24 tahun itu.

"Lori itu turut melanggar sebuah kereta yang ketika itu dari arah Pontian menghala ke Johor Bahru.

"Akibat rempuhan itu, mangsa lelaki terseret ke bawah lori dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penunggang motosikal berusia 42 tahun terjatuh di laluan tengah.

"Dia kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk rawatan lanjut kerana cedera parah," katanya.

Mohd Taib berkata, ketika polis tiba di tempat kejadian, pemandu lori berusia 58 tahun sudah melarikan diri, namun berjaya diberkas beberapa jam kemudian.

"Pemandu lori melarikan diri sejurus kemalangan berlaku, tetapi berjaya diberkas selepas kita menerima maklumat. Kita tahan pemandu ini untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan pula dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Taman Daya untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai untuk bedah siasat dan disahkan meninggal dunia akibat polytrauma.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X