Rabu, 11 Julai 2018 | 6:13pm

2 beranak warga Thai dipenjara miliki jerat, kura-kura

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap dua beranak warga Thailand selepas mereka mengaku bersalah memiliki 13 utas jerat dawai dan menyimpan dua ekor kura-kura Duri Bukit yang dilindungi sepenuhnya tanpa kebenaran.

Tertuduh, Canthi Cantupa, 44, dan anaknya, Pipop Cantupa, 18, yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah sejurus dua pertuduhan itu dibacakan di depan Hakim Tuan Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua beranak terbabit yang ditahan pada 21 Jun tahun lalu di Hutan Simpan Jengai, Dungun, didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Tuan Azman menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap kesalahan bermula dari hari tangkapan, namun memerintahkan ia dijalankan secara serentak.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Zaitup Hazlin Mat Jusoh.

Sementara itu, PERHILITAN Terengganu dalam satu kenyataan mengingatkan semua individu sama ada rakyat tempatan atau warga asing bakal berdepan tindakan tegas terhadap mereka yang memburu hidupan liar secara haram dan memasang jerat di kawasan hutan negara.

"PERHILITAN juga komited dan proaktif dalam mengesan serta menangkap penceroboh terutamanya di kawasan Taman Negara," katanya.

DUA beranak warga Thailand, Chanti Cantupa (kanan) dan Pipop Cantupa (dua dari kiri) mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyimpan 13 urat jerat dan dua ekor kura-kura spesies Duri Bukit tanpa permit. - Foto Ghazali Kori
DUA beranak warga Thailand, Chanti Cantupa (kanan) dan Pipop Cantupa (dua dari kiri) mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyimpan 13 urat jerat dan dua ekor kura-kura spesies Duri Bukit tanpa permit. - Foto Ghazali Kori
Berita Harian X