Isnin, 9 Julai 2018 | 3:22pm
LEBIH 30 rumah di Kampung Sarip musnah akibat kebakaran menyebabkan lebih 150 penghuni hilang tempat tinggal. - Foto ihsan Bomba
LEBIH 30 rumah di Kampung Sarip musnah akibat kebakaran menyebabkan lebih 150 penghuni hilang tempat tinggal. - Foto ihsan Bomba

Dua beradik dukung ibu lumpuh sebelum rumah terbakar

LAHAD DATU: Dua beradik sanggup meredah masuk ke dalam rumah demi menyelamatkan ibu mereka yang lumpuh daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Sarip, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, lebih 30 rumah di perkampungan setinggan terbabit musnah akibat kebakaran menyebabkan lebih 150 penghuni hilang tempat tinggal.

Norman Portunado, 38, berkata api merebak dengan pantas dan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan serta dokumen penting.

NORMAN Portunado. - Foto Ainul Durmahyanty Durming
NORMAN Portunado. - Foto Ainul Durmahyanty Durming

"Dalam kepala saya hanya memikirkan bagaimana mahu menyelamatkan ibu yang lumpuh keluar dari rumah kerana bimbang api merebak dengan pantas.

"Mujur ada adik perempuan saya dan kami bertungkus lumus mendukung ibu yang ketika kejadian berbaring di bilik sebelum api semakin marak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Berikutan kejadian itu, Norman berkata, rumah yang didiami lapan sekeluarga itu musnah sepenuhnya bersama rumah lain di kawasan terbabit.

Bagi seorang lagi penduduk, Noraida Iskul, 39, angin yang kuat menyebabkan api merebak dengan pantas.

NORAIDA ketika ditemui selepas kebakaran memusnahkan lebih 30 rumah di Kampung Sarip, Lahad Datu. - Foto Ainul Durmahyanty Durming
NORAIDA ketika ditemui selepas kebakaran memusnahkan lebih 30 rumah di Kampung Sarip, Lahad Datu. - Foto Ainul Durmahyanty Durming

"Sekelip mata saja api merebak dan memusnahkan kediaman kami. Mujur saya tersedar apabila terdengar jeritan jiran sebelum mengejutkan anak yang sedang tidur serta segera menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.06 pagi.

"Tiga jentera bersama 12 anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai. Ketua operasi memaklumkan, kebakaran berlaku di perkampungan setinggan dan membabitkan kira-kira 30 rumah tidak kekal," katanya.

Khatizah berkata, usaha memadamkan kebakaran segera dilakukan sebelum berjaya dikawal pada jam 2.16 pagi.

"Operasi ditamatkan pada jam 6.01 pagi dan hasil pemeriksaan, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini," katanya yang turut menjelaskan, punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

Berita Harian X