Isnin, 9 Julai 2018 | 9:30am
Seorang lelaki hampir putus pergelangan tangan dipercayai ditetak dalam satu pergaduhan di sebuah kedai kopi di Jalan Siakap berhampiran sebuah pasar raya di Bagan Serai, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Pergelangan tangan hampir putus ditetak

BAGAN SERAI: Pergelangan tangan seorang lelaki hampir putus dipercayai ditetak dalam satu pergaduhan di sebuah kedai kopi di Jalan Siakap berhampiran sebuah pasar raya di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, seorang lelaki berusia lingkungan 30an mengalami kecederaan parah setelah pergelangan tangan kanannya dipercayai ditetak dengan menggunakan senjata tajam oleh seorang suspek lelaki.

Sumber berkata, mangsa dipercayai terbabit pergaduhan dengan suspek sewaktu berada di dalam premis berkenaan.

Menurutnya, punca pergaduhan belum dapat dipastikan dan mangsa hampir tidak sedarkan diri setelah diserang suspek.

"Difahamkan, dua suspek terbabit dalam kejadian pergaduhan itu yang dikatakan berpunca daripada penemuan satu dompet di lokasi kejadian.

"Mangsa yang parah kemudian dibawa ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan kecemasan," katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.

"Siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca dan motif kejadian," katanya.

Berita Harian X