Isnin, 2 Julai 2018 | 2:41pm

Cabul pelajar kolej, ejen insurans didakwa

PETALING JAYA: Seorang ejen insurans didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mencabul kehormatan seorang pelajar kolej yang dikenalinya melalui laman sosial Instagram di sebuah kompleks beli-belah di sini, 16 Jun lalu.

Fadhil Qayyum Muhammad Rasul, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan wanita itu dengan cara memeluk, menarik tangan dan mencium mulut mangsa yang berusia 25 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di panggung wayang The Strand Damansara, tempat parkir cafe Dr Coffee dan di dalam kenderaan milik lelaki itu di sekitar Jalan SS22/25, di sini antara jam 10 malam pada16 Jun hingga 3 pagi, 17 Jun lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik menawarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan tidak berkemampuan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X