Ahad, 1 Julai 2018 | 6:36pm
MAYAT pelajar yang dijumpai di sebuah kolej kediaman di Pulau Gadong. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
MAYAT pelajar yang dijumpai di sebuah kolej kediaman di Pulau Gadong. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Pelajar ditemui mati di bilik asrama

MELAKA: Penuntut lelaki sebuah kolej milik kerajaan negeri ditemui mati di dalam bilik asramanya di Taman Pertam Perdana, Pulau Gadong, di sini, pagi tadi.

Mayat penuntut jurusan diploma berusia 21 tahun itu ditemui sekumpulan penghuni asrama dan pengawal keselamatan di biliknya.

Difahamkan, penuntut terbabit yang berasal dari Kedah sepatutnya pulang ke kampung dan tiba kira-kira jam 5 pagi ini, sebelum ibu mangsa menghubungi pihak asrama bagi memeriksa keadaannya.

Bagaimanapun, pemeriksaan di bilik mendapati sudah meninggal dunia dalam keadaan terbaring.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat penuntut itu jam 12 tengah hari oleh warden asrama.

"Mayatnya ditemui di atas tilam di lantai dan pemeriksaan ke atas mayat berkenaan dipercayai dia sudah meninggal dunia lebih 48 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau.

"Dia dikatakan tinggal seorang diri memandangkan ketika ini semua penuntut termasuk rakan sebilik pulang bercuti," katanya.

Afzanizar berkata, pemeriksaan dijalankan turut mendapati tidak berlaku sebarang unsur jenayah.

"Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Berita Harian X