Jumaat, 29 Jun 2018 | 9:42pm
Gambar seorang lelaki didakwa dibelasah sekumpulan lelaki di Country Homes Rawang, Rawang, awal pagi semalam, yang tular di media sosial. - Foto ihsan Pembaca

Polis tahan tiga lelaki berkaitan kes gaduh

RAWANG: Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kes pergaduhan di Country Homes Rawang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, seorang lelaki parah, manakala seorang lagi cedera ringan selepas dibelasah sekumpulan lelaki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu oleh mangsa pada jam 4.40 petang semalam.

"Pergaduhan membabitkan beberapa lelaki yang memukul dan melanggar mangsa menggunakan motosikal sebelum menyamun kedua-dua mangsa dengan melarikan motosikal serta dompet mereka.

"Mangsa pertama luka pada kepala dan badan, manakala mangsa kedua mengalami calar di beberapa bahagian badan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Fadzil berkata, pihaknya menahan tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun di Kundang dengan seorang daripada mereka memiliki rekod dadah.

"Siasatan awal mendapati kumpulan yang bergaduh itu adalah daripada Geng 08 dan motif kejadian, perebutan kawasan penjualan dadah.

"Sebelum ini, ketua mereka yang menggunakan gelaran Datuk Seri dan beberapa pemimpin tertinggi geng itu sudah ditahan untuk tindakan jenayah terancang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) menerusi Operasi Spider oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

"Kami percaya kumpulan ini dalam keadaan kucar-kacir kerana tiada pemimpin dan berlaku perebutan kuasa. Saki-baki suspek kini giat diburu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Video berdurasi 34 saat dan beberapa gambar lelaki yang dikatakan ahli kumpulan kongsi gelap yang membelasah mangsa turut viral di media sosial, hari ini.

Video berkenaan memaparkan seorang lelaki dipercayai ditetak, dipukul dan dibogelkan sekumpulan lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap.

Satu mesej dipercayai daripada penduduk Country Homes Rawang dikatakan meminta bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kejadian itu yang dikaitkan dengan kegiatan gangsterisme.

Berdasarkan mesej viral berkenaan, lelaki terbabit dikatakan menonton bola sepak berhampiran sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan berkenaan.

Mangsa dikatakan ditetak, dibelasah oleh kira-kira 30 lelaki bersenjatakan parang dan besi hingga menyebabkan kecederaan di kedua-dua tangan, kepala dan belakang badan, lelaki berkenaan dibogelkan.

Berita Harian X