Jumaat, 29 Jun 2018 | 3:14pm
MAZLAN Mansor (tengah) ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di perkarangan IPD Klang Selatan. - Foto Faiz Anuar
MAZLAN Mansor (tengah) ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di perkarangan IPD Klang Selatan. - Foto Faiz Anuar

Suspek utama kes bunuh pemandu Grab dicekup

KLANG: Seorang lelaki warganegara asing berusia 20 tahun yang dipercayai suspek utama kes pemandu Grab ditemui meninggal dunia di dalam kereta miliknya di Taman Selayang Makmur, Gombak, pada 23 Jun lalu berjaya ditangkap polis, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek ditangkap di sebuah kawasan di Gombak dan akan dibawa ke mahkamah untuk ditahan reman pada hari ini.

Menurutnya, polis percaya dengan tertangkapnya suspek, kes membabitkan Allahyarham Aiman Nosri, 27, yang dipercayai dibunuh sebelum dijumpai di tempat duduk belakang kereta Perodua Myvi itu dapat diselesaikan.

"Saya percaya ia adalah tangkapan yang terakhir, dan keseluruhannya seramai enam orang ditangkap bagi kes ini, namun hanya dua orang sahaja yang mempunyai kaitan dengan kes ini.

"Mengenai motif kejadian, polis masih menyiasat dan perlu tunggu sehingga siasatan dilengkapkan untuk pertuduhan," katanya ketika ditemui media pada majlis rumah terbuka polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, Aiman yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan, ditemui dalam keadaan terlingkup dengan bahagian kepala mengenai lantai kenderaan itu, manakala kakinya di atas.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas kerana dipercayai ditekup menggunakan baju T miliknya sendiri.

Pemeriksaan lanjut pada kereta milik mangsa mendapati dompet serta satu telefon bimbitnya hilang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X