Khamis, 28 Jun 2018 | 4:02pm
DR Afif Bahardin (dua dari kiri) melayan tetamu yang hadir pada Hari Bertemu Pelanggan dan Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Pertanian dekat Cherok Tokun, Bukit Mertajam, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam
DR Afif Bahardin (dua dari kiri) melayan tetamu yang hadir pada Hari Bertemu Pelanggan dan Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Pertanian dekat Cherok Tokun, Bukit Mertajam, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam

Tiada aduan produk sardin mengandungi cacing

BUKIT MERTAJAM: Tiada laporan atau aduan daripada pengguna berhubung produk sardin mengandungi benda asing (cacing) diterima di Pulau Pinang setakat ini.

Mengulas mengenai produk sardin dari China yang dirampas di pintu masuk Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT) pada 14 Mei lalu, EXCO Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Afif Bahardin berkata, pengguna yang mendapat maklumat atau memperoleh produk yang mengandungi benda asing diminta segera membuat laporan.

Katanya, ia membolehkan pihak berkuasa memantau dan mengambil tindakan sewajarnya supaya produk yang tidak bersih dan kurang selamat digunakan itu ditarik keluar dari memasuki pasaran.

"Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan atau aduan berkenaan apa jua produk mengandungi benda asing namun jika pengguna ada maklumat atau mereka terbeli produk sedemikian diminta tampil bagi membolehkan tindakan diambil.

"Pada masa sama, kita menasihatkan pengguna supaya menyemak dulu apa jua produk yang ingin dibeli dengan lebih teliti khususnya produk dari luar negara bagi memastikan apa yang diambil mereka itu bersih dan selamat untuk dimakan," katanya.

Beliau ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan dan Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Pertanian dekat Cherok Tokun di sini hari ini.

Menurutnya, pengeluar produk sardin juga seharusnya bertanggungjawab dengan menghasilkan produk yang baik dan berkualiti supaya dapat menjaga reputasi serta perniagaan mereka.

Pada 14 Mei lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, menahan dua kontena berisi produk sardin Canned Mackerel in Tomato Sauce (Jenama RANESA) kerana mengandungi benda asing iaitu nematoda (sejenis cacing) daripada Genus Anisakis spp.

Dua kontena itu ditahan di pintu masuk Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT) selepas hasil pemeriksaan fizikal dan persampelan ke atas beberapa tin sardin membawa kepada penemuan benda asing iaitu cacing berkenaan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Beberapa bulan lalu, Kementerian Kesihatan mengarahkan dua produk sardin dalam tin dari China, Canned Sardines in Tomato Sauce jenama TL Tan Lung dan Sardines in Tomato Sauce jenama TLC, ditarik balik dari pasaran kerana mengandungi cacing.

Tindakan juga diambil terhadap syarikat pengimport produk itu yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 selain produk berkenaan ditarik balik berikutan mengandungi cacing nematoda daripada Genus Anisakis spp.

Berita Harian X