Jumaat, 22 Jun 2018 | 8:11pm
ANGGOTA APM Segamat sedang menangkap seekor ular sawa batik seberat kira-kira 150 kilogram setelah menelan seekor kambing betina di dalam sebuah kandang kambing peliharaan seorang penduduk di Kampung Tebing Tinggi. - Foto Ahmad Ismail

APM tangkap ular dipercayai terbesar tahun ini

SEGAMAT: Misteri kehilangan beberapa ekor kambing di Kampung Tebing Tinggi sejak kebelakangan ini terjawab, apabila penduduk kampung menemui seekor ular sawa batik kekenyangan di dalam kandang kambing, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Segamat, Kapten Mohd Nazlan Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 11 pagi memaklumkan menemui seekor ular sawa batik seberat kira-kira 150 kilogram (kg) yang kekenyangan di dalam kandang kambing dengan bahagian tengah perutnya membuncit sebesar kira-kira 0.5 meter.

Katanya, pemilik kandang kambing itu, seorang lelaki berusia 30-an, kemudian memaklumkan seekor kambing betina seberat kira-kira 25 kg tiada dalam kandang berkenaan, dipercayai ditelan ular sawa batik sepanjang kira-kira lima meter itu.

Menurutnya, pemilik berkenaan menyedari kejadian itu apabila ingin membersihkan kandang kambing dan memaklumkan kepada penduduk sebelum menghubungi APM.

"Sebaik menerima panggilan kecemasan itu, lima anggota APM Segamat dikejarkan ke tempat kejadian dan kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular berkenaan.

"Kami dapati, walaupun kekenyangan ular berkenaan masih agresif dan cuba menyerang anggota, mujurlah mereka terlatih dan dilengkapi peralatan menangkap ular," katanya ketika ditemui di Pejabat APM Segamat di Jalan Omar di sini, hari ini.

Menurutnya, beberapa minggu lalu pihaknya menerima aduan penduduk Kampung Tebing Tinggi dan Kampung Bukit Tunggal mendakwa kehilangan kambing, ayam dan itik yang disimpan untuk dijual menjelang Aidilfitri.

Katanya, ular sawa batik itu dipercayai antara terbesar ditemui tahun ini dan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERLIHITAN) Segamat dalam masa terdekat.

Berita Harian X