Jumaat, 22 Jun 2018 | 6:37pm

Hadapi tuduhan menipu mohon jaminan rendah

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang menghadapi tuduhan menipu ahli perniagaan merayu di Mahkamah Sesyen hari ini, memberikan jaminan yang rendah atas alasan dia menanggung keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi mencadangkan wang jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh iaitu, Mohd Isa Ismail, 50.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Mohd Isa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung pembekalan vest dan topi keledar keselamatan untuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), tahun lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Mohd Isa didakwa menipu Muhammad Roshdy Misbah, 45, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh memberikan mangsa tawaran pesanan kerajaan untuk membekal baju vest keselamatan dan topi keledar keselamatan untuk JKJR Selangor, yang mana tertuduh tahu ia tidak wujud.

Perbuatan tertuduh mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM140,000, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Mohd Isa didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini pada jam 2.30 petang, 27 Julai 2017.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X