Rabu, 13 Jun 2018 | 12:10am
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor menunjukkan sebahagian 80 tong mengandungi minyak Petrol yang dirampas di sebuah pangkalan haram di Kampung Simpangan. - Foto Ihsan PPM Pengkalan Kubor
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor menunjukkan sebahagian 80 tong mengandungi minyak Petrol yang dirampas di sebuah pangkalan haram di Kampung Simpangan. - Foto Ihsan PPM Pengkalan Kubor

Dua sepupu leka seludup minyak ditahan

TUMPAT: Kerana terlalu leka memunggah minyak di sebuah pangkalan haram untuk diseludup ke Thailand, dua lelaki tidak menyedari kegiatan mereka diintip pihak berkuasa dan akibatnya kedua-dua mereka berjaya diberkas, semalam.

Kegiatan itu dilakukan di pangkalan haram Kampung Simpangan kira-kira jam 4 pagi sebelum mereka ditahan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM).

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin, berkata dalam kejadian itu, dua lelaki yang berusia 30 dan 31 tahun sedang memunggah sejumlah tong yang mengandungi petrol dan diesel daripada dua kenderaan jenis Mitsubishi Triton.

Katanya, ketika anggota PPM menjalankan rondaan, mereka ternampak dua kenderaan suspek di sebuah pangkalan haram di Kampung Simpangan.

"Ketika anggota kami tiba, dua lelaki terbabit sedang memunggah turun tong petrol dan diesel dari kenderaan untuk diletakkan di stor di kawasan itu sebelum dibawa ke seberang menggunakan bot galah.

"Hasil pemeriksaan terhadap dua kenderaan terbabit menemui 80 tong mengandungi minyak petrol dengan isipadu 2,400 liter dan 900 liter diesel dalam 30 tong," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, nilai keseluruhan petrol dan diesel serta dua kenderaan terbabit dianggarkan bernilai RM112,080.

"Semua barang rampasan termasuk dua kenderaan itu serta suspek diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kelantan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Berita Harian X