Jumaat, 8 Jun 2018 | 11:53am
GELIN Rangi, 41, maut di tempat kejadian dipercayai akibat cedera parah di kepala selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Bako. -Foto Mohd Zamil Sulaiman
GELIN Rangi, 41, maut di tempat kejadian dipercayai akibat cedera parah di kepala selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Bako. -Foto Mohd Zamil Sulaiman

Lelaki meluru lintas jalan, maut dirempuh kereta

KUCHING: Seorang lelaki maut dirempuh kereta ketika melintas jalan di Jalan Bako, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Gelin Rangi, 41, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat parah pada kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, mangsa dikatakan tiba-tiba meluru ketika melintas jalan.

Pada masa sama, katanya, sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun melalui kawasan itu.

"Ketika kejadian, kereta terbabit bergerak lurus di lorong kiri di Jalan Bako dari arah Demak menuju ke pusat bandar raya Kuching.

"Setiba di lokasi kejadian, tiba-tiba seorang pejalan kaki berlari melintas jalan dari bahu jalan sebelah kiri masuk ke arah laluan kenderaan.

"Pemandu cuba mengelak dengan menukar haluan ke lorong kanan serta menekan brek, namun tetap gagal mengelak pejalan kaki itu," katanya di sini, hari ini.

Alexson berkata, akibat pelanggaran itu mangsa dipercayai tercampak dan menyebabkannya parah pada kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu kenderaan terbabit kemudian membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X