Isnin, 28 Mei 2018 | 11:54pm
ANGGOTA polis mengangkat mayat yang ditemui terlentang atas katil di sebuah bilik penginapan untuk dihantar ke Hospital Ranau. - Foto Ihsan polis

Mayat guru ditemui dalam bilik

RANAU: Mayat seorang guru lelaki ditemui dalam bilik sebuah penginapan di pekan ini, pagi tadi.

Shuhamly Suhaimi, 36, ditemui terlentang di katil jam 10.30 pagi oleh pekerja di penginapan yang ingin membersihkan bilik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat maklumat.

"Pemeriksaan menemui mangsa dalam keadaan terlentang dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Ranau.

"Tiada kesan pencerobohan atau pergelutan dikesan manakala semua barang peribadi mangsa dalam keadaan baik," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa adalah seorang guru di sebuah sekolah rendah di Tongod, Kinabatangan.

Katanya, mangsa dikatakan mendaftar masuk Sabtu lalu dan tidak pernah keluar dari bilik sewa berkenaan.

"Siasatan masih diteruskan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk bedah siasat," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X