Selasa, 22 Mei 2018 | 6:05pm

300 tan kayu cengal lesap

JERTIH: Kira-kira 300 tan kayu cengal bernilai hampir RM3 juta yang ditempatkan sindiket 'Geng Azhar' di lokasi transit di ladang getah Kampung Pekan Sari, di sini, lesap selepas mereka menyedari kegiatan dihidu Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT).

Rentetan daripada penahanan tiga lelaki dipercayai ahli sindiket itu pada 29 April lalu, pasukan penguatkuasaan JPNT berjaya mengesan dua lokasi yang dijadikan transit kayu balak dicuri.

Di lokasi transit ladang kelapa sawit dekat Kampung Gong Medang, di sini, pihak berkuasa berjaya menemui lima longgokan kayu balak pelbagai jenis bernilai RM60,000.

Bagaimanapun, Pengarah JPNT Datuk Ahmad Fadzil Abd Majid berkata, pihaknya percaya sindiket terbabit segera memindahkan lebih 300 tan kayu cengal berkualiti tinggi di lokasi transit kedua ke kawasan lain bagi mengelakkan ia dirampas.

"Pada Jumaat lalu, pasukan serbuan mengesan lokasi transit yang menempatkan kira-kira 40 kayu balak pelbagai jenis di ladang sawit.

"Mengetahui kegiatan mereka terdedah, sindiket dipercayai segera memindahkan kayu cengal yang lebih bernilai itu ke lokasi lain bagi mengelak ia dirampas.

"Apabila pasukan serbuan tiba di lokasi kedua, kami mendapati hanya sebatang saja kayu balak jenis cengal ditinggalkan manakala selebihnya dipercayai sudah dipindahkan," katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Ahmad Fadzil berkata, pihaknya kini dalam proses mengesan lokasi digunakan sindiket untuk menyembunyikan kayu balak bermutu tinggi terbabit.

Justeru, orang ramai diminta untuk membantu menyalurkan maklumat supaya JPNT dapat melumpuhkan sindiket bagi mengelak lebih banyak kerosakan di kawasan hutan simpan di Besut dilakukan lanun rimba.

PELBAGAI jenis kayu balak haram yang disimpan di ladang sawit dan getah semasa operasi bersama Jabatan Perhutanan Negeri di Kampung Medang sebelum dibawa ke kilang. - Foto Zaid Salim
PELBAGAI jenis kayu balak haram yang disimpan di ladang sawit dan getah semasa operasi bersama Jabatan Perhutanan Negeri di Kampung Medang sebelum dibawa ke kilang. - Foto Zaid Salim
KAWASAN yang disimpan di ladang sawit dan getah semasa operasi bersama Jabatan Perhutanan Negeri di Kampung Medang sebelum dibawa ke kilang. - Foto Zaid Salim
KAWASAN yang disimpan di ladang sawit dan getah semasa operasi bersama Jabatan Perhutanan Negeri di Kampung Medang sebelum dibawa ke kilang. - Foto Zaid Salim
JABATAN Perhutanan Negeri memeriksa pelbagai jenis kayu balak haram yang disimpan di ladang sawit dan getah di Kampung Medang sebelum dibawa ke kilang. - Foto Zaid Salim
JABATAN Perhutanan Negeri memeriksa pelbagai jenis kayu balak haram yang disimpan di ladang sawit dan getah di Kampung Medang sebelum dibawa ke kilang. - Foto Zaid Salim
Berita Harian X