Khamis, 17 Mei 2018 | 3:23pm
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap ular sawa di atas pokok dokong di Kampung Luar, Mukim Siong. - Foto Ihsan APM
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap ular sawa di atas pokok dokong di Kampung Luar, Mukim Siong. - Foto Ihsan APM

APM tangkap ular sawa

BALING: Seekor ular sawa sepanjang lima meter dan seberat 30 kilogram (kg) ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kampung Luar, Mukim Siong, di sini, hari ini.

Ular sawa itu ditemui penduduk, Raslan Ghazali, 50, ketika menebas di dusun di belakang rumahnya jam 7.45 pagi sebelum menghubungi pihak APM.

Raslan berkata, ular sawa itu dipercayai membaham seekor tikus dan menyorok di kawasan semak belakang rumahnya yang berpaya.

"Saya sedang menebas dan terkejut melihat kelibat seekor ular sawa di dalam paya.

"Lalu saya mengambil kayu untuk menghalaunya dan ia bergerak ke atas pokok dokong di situ," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia bimbang haiwan ternakan pula menjadi mangsa ular sawa itu.

Sementara itu, Pegawai APM Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan jam 8 pagi dan sampai ke lokasi 15 minit kemudian.

Beliau berkata, empat anggota mengambil masa 30 minit untuk menangkap ular sawa yang berlingkar di atas pokok dokong di belakang rumah berkenaan.

"Anggota APM sukar menangkap kerana ia berada di atas pokok setinggi 10 meter namun kecekapan mereka berjaya membawa turun reptilia itu menggunakan peralatan menangkap ular.

"Orang awam diminta berhati-hati menangkap ular berbisa dan sekiranya ada kes kecemasan boleh hubungi talian 04-4701626 atau 999," katanya.

Katanya, ular sawa itu diserah kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN ) sebelum dihantar ke habitat asal.

Berita Harian X